Thursday, November 5, 2009

Biarlah kematian menjadi didikan!

Akhir-akhir ini, terasa dekat benar dengan kematian.

Hati tidak menangisi pemergian si mati, tetapi amat gementar melihat kujur-kujur badan yang keras, pucat dan tidak bernyawa itu.. saat perhitungan akan bermula. Maka bermulalah kehidupan yang sebenarnya.. Kekal!

Aku bukan gementar kerana 'mayat akan bertukar hantu'. Tetapi aku takut melihat bila saja si makhluk bergelar mayat, maka habislah peluang merebut amal dan takwa. Diri lagi tidak mampu berbuat apa-apa, sehingga mandi yang terlalu peribadi itu pun akan diurus orang. menunjuk betapa lemahnya makhluk apatah yang mati mahu berhadapan dengan Allah. Lagi diri tidak mampu bergerak seinci pun, apakah manusia mampu mengelat dan mengelak ketika disoal siasat oleh munkar nakir apatah menepis azab yang bakal dilalui di alam barzakh itu.. oh, cukup menggerunkan!

Tahlil orang yang hidup tak mampu menambah berat amalan untuk ditimbangkan di mizan-Nya pun. Talqin yang diajar selepas si mati disimpan di perut bumi, tidak akan mampu pun membantu si mati menjawab dengan petah soalan malaikat jika di atas bumi tidak mengikut ajaran Tuhan. Oh, tidak senang rupanya!


Apakah pakej kematian yang berkelas 'a', duit solat empat kepak dengan rm 4-5 mampu menempatkan kita di mahligai di syurga kalau ketika hidup, kita sangat kedekut dengan jariah.. ya benar sekali, solat yang didirikan ke atas si mati sama sekali tidak akan meredakan Murka Allah terhadap solat-solat fardhu yang ditinggalkan ketika hidupnya. Solat jenazah cuma tuntutan fardhu kifayah kepada mereka yang masih hidup.

Aku melihat karenah orang-orang yang hidup, yang mengelilingi si mati... Apakah mereka mengambil peristiwa kematian ini sebagai peringatan atau cuma kesedihan kerana yang disayangi sudah tiada lagi? Amat rugilah kalau kematian seseorang tidak mendidik mereka yang hidup.


Aku lebih hairan melihat ghairahnya kumpulan-kumpulan mencari keuntungan dengan kematian orang lain. Adanya pakej urus jenazah mengikut kelas dan harga, ada kumpulan-kumpulan yang pusing meronda mencari orang mati untuk solat kerana upahnya yang bernilai rm5, malah ada pondok yang dapat beli van hasil wang kematian! wah, industri jenazah namanya ni!

Sayangnya, yang beria-ria pusing solat jenazah itu, semuanya sudah berumur. Apakah mereka tidak sedar, secara sunnah alamnya, mereka akan dipanggil oleh tuhan seperti si mati yang mereka solatkan itu pada bila-bila detik sahaja. Mau solat itu bagus, uruskan jenazah itu juga satu tuntutan, tetapi bila fardhu kifayah ini dicabuli dengan tangan-tangan yang mahu mencari kepentingan dan mahu buat bisnes dengan kematian, maka tercemarlah ibadah ini.

Aku juga bingung dengan fahaman masyarakat kita. Menutup aurat depan si mati, tetapi tidak depan mereka yang hidup. Mereka tidak bertudung seharian, tetapi akan bertudung bila ziarah kematian. Mereka berseluar pendek malah tidak berbaju pun keluar rumah, tetapi akan berbaju melayu siap berkopiah putih bila menziarahi kematian.. Ah, lebih malu dengan mayat yang tidak boleh berbuat apa-apa berbanding yang hidup rupanya!

biarkanlah.. moga satu hari nanti, Allah memberi hidayah kepada mereka. Semoga Allah menjadikan mereka orang yang mengambil berita kematian sebagai signal peringatan.

Aku bersyukur, kerana Allah memberikan aku peringatan ini. Boleh kata saban hari ada saja berita kematian yang ku terima seminggu-dua ini. Pelbagai kelas kematian ditunjukkan. Ada yang mati kerana usia tua, ada yang mati kerana tragedi, ada yang mati kerana sakit / penyakit dan ada yang mati bukan kerana itu semua.. muda, tidak berpenyakit malah tidak terlibat dengan apa-apa tragedi pun mati.

Benarlah, 'setiap yang akan datang itu adalah dekat'. Yang sudah berlalu terlalu dan terlalu jauh. kita tak mampu lagi kembali. Tetapi yang akan datang itu teramat dekat. Berapa kesempatan yang kita ada, gunakanlah dengan ibadah dan manfaatkannya dengan amalan yang mampu memberatkan mizan kita di hadapan Allah nanti.


Satu, jangan lupa perbanyakkan doa memohon agar kita mendapat redho Allah swt. Amalan kita tak mampu memasukkan kita ke syurga Allah. cuma redhonya sahajalah kunci kehidupan yang kekal bahagia di alam yang hakiki.


'Ya Allah, Tamatkanlah kehidupan kami dengan Husnul Khatimah'

P/s : Semua gambar di atas cuma sebagai hiasan.

Friday, October 30, 2009

MERENUNG KEBIJAKSANAAN SYEIKHUR RAHIL, ALMARHUM USTAZ FADHIL NOOR

Oleh MOHAMED HANIPA MAIDIN




Sahabat baik saya, Saudara Muhaimin Sulam pada masa ini sedang menulis tesis Phd beliau mengenai mantan Presiden PAS iaitu Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor.


Muhaimin memberitahu saya dalam menyediakan tesisnya beliau telah antara lain menemubual Tun Mahathir bagi mendapatkan pandangannya tentang Almarhum.

Mahathir memberitahu Muhaimin bahawa beliau amat menghormati Almarhum dan mengakui bahawa meskipun Almarhum adalah pemimpin pembangkang namun beliau banyak belajar dari Almarhum.

Seorang lagi pemimpin yang ditemubual oleh Muhaimin adalah Lim Keng Yeik iaitu mantan presiden Gerakan. Lim Keng Yeik juga menghormati kebijaksanaa Almarhum.

Dalam kesempatan ini saya ingin berkongsi dengan para pembaca tentang dua insiden yang saya pernah lalui bersama dengan Almarhum . Dua insiden itu bagi saya menunjukkan ketelitian dan kebijaksanaa Ustaz Fadzil Mohd Noor.

Insiden pertama adalah apabila saya menjadi penterjemah beliau semasa beliau ditemubual oleh seorang wartawan Austria. Temubual itu berlangsung di Pejabat Harakah di Jalan Pahang. Memandangkan saya secara kebetulan ada di situ Almarhum mengajak saya untuk hadir di temubual itu sekaligus menjadi penterjemah beliau.

Banyak soalan yang diajukan oleh wartawan tersebut kepada Almarhum. Dalam banyak jawapan yang diberikan oleh Ustaz Fadzil, saya amat tertarik dengan jawapan yang beliau berikan kepada satu soalan yang saya kira satu soalan untuk memerangkap beliau.

Wartawan Austria itu bertanya kepada Ustaz Fadzil apakah yang PAS akan lakukan kepada pernigaan judi di Genting Highland jika PAS ditakdirkan memerintah Malaysia ?

Sebelum Ustaz Fadzil menjawab soalan tersebut saya tertanya-tanya bagaimanakah Ustaz Fadzil akan menjawab soalan tersebut. Saya dapat merasakan bahawa wartawan Austria itu mahukan Ustaz Fadzil Noor menjawab bahawa PAS akan menutup pusat judi di Genting Highland kerana judi adalah haram menurut Islam. Saya percaya jika begitulah jawapan Ustaz Fadzil Noor maka itulah yang dimahukan oleh wartawan barat itu bagi menunjukkan bahawa gerakan Islam seperti PAS adalah ekstrim dan jika memerintah maka kononnya hak orang bukan Islam akan tergugat.

Saya jenuh memikirkan bagaimanakah Ustaz Fadzil akan menjawab soalan tersebut. Sebelum Ustaz Fadzil ditanya soalan itu saya ada membaca di akhbar the star yang diterbitkan sebelum temubual itu tentang jawapan yang diberikan oleh pemimpin PAS yang lain bahawa PAS akan menutup pusat perjudian itu jika PAS memerintah Malaysia. Saya merasakan meskipun jawapan itu tidak salah dari sudut agama namun menjawab secara sebegitu akan menguatkan persepsi di kalangan orang bukan Islam yang tidak memahami Islam bahawa itulah PAS sebuah parti yang ekstrem.

Mari kita lihat kebijaksanaan Ustaz Fadzil menjawab soalan yang saya nyatakan di atas.
Beliau menjawab lebih kurang begini : “ Bagi kita ( PAS ) ada isu yang lebih besar dari isu yang kamu bangkitkan tersebut. Bagi kita ( PAS ) isu tentang penyalahgunaan kuasa, isu rasuah , isu pencabulan hak asasi dan isu pencabulan sistem demokrasi dalam negara ini adalah isu-isu besar yang rakyat mahukan kita ( PAS ) membuat perubahan jika kita ditakdirkan mengambil alih kuasa dari Barisan Nasional.”

Sebaik sahaja saya mendengar jawapan itu saya berkata dalam hati memang layaklah Ustaz Fadzil menjadi pemimpin saya. Jawapan yang amat bijaksana. Beliau tidak kata beliau tidak akan haramkan judi oleh itu tidak boleh dituduh PAS sudah menggadai prinsip. Cara beliau mengalih ( divert ) persoalan yang dibangkitkan amat menakjubkan.

Dalam satu insiden yang lain saya kebetulan berkesempatan makan tengah hari bersama beliau di kantin Parlimen. Semasa makan tersebut beliau menceritakan kepada saya tentang isu yang berlaku di Parlimen. Beliau memberitahu saya bahawa beliau tidak begitu senang hati dengan cara ahli-ahli Parlimen Umno menyerang pentadbiran Taliban di Afghanistan. Ustaz Fadzil memberitahu cara Umno menyerang Taliban adalah dengan cara yang tidak adil kerana tidak langsung menceritakan aspek positif pemerintah Taliban khususnya kejayaan Taliban menyelesaikan isu dadah di negara itu.


Ustaz Fadzil memberitahu saya pada mulanya beliau ingin bangun dan membela Taliban yang diserang secara tidak adil oleh Umno. Namun beliau menyatakan bahawa beliau berfikir panjang sebelum meneruskan hasratnya itu. Beliau menyatakan bahawa beliau amat khuatir dan bimbang jika beliau bangun membela Taliban yang diserang secara tidak adil oleh Umno, PAS akan dilihat membela Taliban . Apabila PAS dilihat membela Taliban, ujar Ustaz Fadzil, maka rakyat negara ini akan dimomokkan oleh Umno bahawa PAS adalah sama dengan Taliban. Dan ini , dari segi politik, akan menyukarkan PAS untuk menangkis serangan Umno itu dalam keadaan Umno menguasai media massa. Maka beliau mengambil keputusan tidak bangun untuk membela Taliban.

Sekali lagi saya lihat kebijaksanaan Ustaz Fadzil. Beliau amat teliti dan cermat dalam mengambil satu-satu pendirian. Meskipun apa yang beliau ingin buat itu betul ( membela pihak yang diserang secara tidak adil ) namun sebagai pemimpin beliau memikirkan kesan apa yang beliau buat itu. Inilah antara lain kualiti seorang pemimpin – sentiasa memikirkan kesan sesuatu tindakan yang ingin dilakukan.


Apa yang Ustaz Fadzil lakukan tersebut, bagi saya, adalah mencontohi apa yang dilakukan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Bagi kita yang menekuni sirah Rasulullah s.a.w pasti akan tahu bagaimana kisah Rasulullah s.a.w. dan pemimpin Munafiq Abdullah bin Ubay bin Salul .
Meskipun diminta oleh para sahabat untuk membunuh Abdullah bin Ubay namun Rasulullah s.a.w enggan melakukan hal tersebut. Rasullullah s.a.w menolak saranan para sahabat tersebut kerana tidak mahu dikatakan orang selepas itu bahawa Muhammad telah membunuh sahabatnya sendiri.

Kita lihat juga peristiwa penaklukan bumi Palestine pada tahun 637 Masihi oleh Syaidina Umar . Semasa Syaidina Umar berada di dalam gereja waktu solat pun tiba. Paderi menyuruh beliau bersembahyang dalam gereja tersebut. Syaidina Umar dengan penuh hikmah menolak pelawaan tersebut . Umar jelaskan pada Paderi tersebut sekiranya beliau sembahyang di situ kaum muslim akan ingin mengingati peristwa bersejarah itu dengan mendirikan masjid di tempat itu ( gereja itu ) dan jika itu berlaku kaum muslim akan memusnahkan gereja itu.

Lihatlah sikap seorang pemimpin. Sentiasa memikirkan kesan apa yang ingin dilakukan. Moga kita dapat mengambil pengajaran dari kisah di atas.

Wednesday, October 7, 2009

Kerajaan Pas Kedah - 121,904 hektar hutan Kedah diwartakan


Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH

ALOR SETAR 7 Okt. - Kerajaan negeri mewartakan sejumlah 121,904 hektar hutan di seluruh negeri untuk dijadikan hutan simpan dan kawasan tadahan air.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, pewartaan itu dibuat secara berperingkat bermula pada 13 Mac tahun lalu sebanyak 31,219 hektar diikuti 29 Julai lalu (14,480 hektar) dan yang terbaru semalam iaitu seluas 76,205 hektar.

Beliau berkata, pewartaan kawasan tersebut menyebabkan kerajaan negeri kehilangan hasil bumi dianggarkan bernilai lebih RM3 bilion kerana tidak boleh menebang balak di situ.

''Kami berharap Kerajaan Pusat menimbangkan pemberian geran berikutan kesediaan kerajaan negeri mewartakan kawasan tersebut sebagai kawasan tadahan hujan.

'''Jumlah geran yang diminta akan ditentukan kemudian," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darulaman di sini hari ini.

Azizan berkata, kerajaan negeri turut bersetuju mewujudkan tiga taman negeri melibatkan keluasan kira-kira 65,000 hektar bagi memastikan khazanah hutan yang berharga termasuk hidupan flora dan faunanya terpulihara, sekali gus dijadikan sebagai destinasi pelancongan. diputuskan.

''Mesyuarat Exco telah meluluskan perkara ini dan kita akan mewartakannya dalam tempoh terdekat," katanya.

Beliau berkata, kawasan yang dipilih ialah Taman Negeri Ulu MUda berdekatan Tasik Pedu membabitkan keluasan sebanyak 27,196 hektar, Taman Negeri Lembah Bujang, Merbok (11,636 hektar) dan Taman Negeri Langkawi melibatkan kawasan seluas 26,163 hektar.

Menurut beliau, taman-taman negeri itu adalah di bawah kelolaan kerajaan negeri dan akan dikendalikan oleh Jabatan Hutan menerusi kos tertentu yang belum


ALOR SETAR 7 Okt. - Kerajaan negeri mewartakan sejumlah 121,904 hektar hutan di seluruh negeri untuk dijadikan hutan simpan dan kawasan tadahan air.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, pewartaan itu dibuat secara berperingkat bermula pada 13 Mac tahun lalu sebanyak 31,219 hektar diikuti 29 Julai lalu (14,480 hektar) dan yang terbaru semalam iaitu seluas 76,205 hektar.

Beliau berkata, pewartaan kawasan tersebut menyebabkan kerajaan negeri kehilangan hasil bumi dianggarkan bernilai lebih RM3 bilion kerana tidak boleh menebang balak di situ.

''Kami berharap Kerajaan Pusat menimbangkan pemberian geran berikutan kesediaan kerajaan negeri mewartakan kawasan tersebut sebagai kawasan tadahan hujan.

'''Jumlah geran yang diminta akan ditentukan kemudian," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darulaman di sini hari ini.

Azizan berkata, kerajaan negeri turut bersetuju mewujudkan tiga taman negeri melibatkan keluasan kira-kira 65,000 hektar bagi memastikan khazanah hutan yang berharga termasuk hidupan flora dan faunanya terpulihara, sekali gus dijadikan sebagai destinasi pelancongan. diputuskan.

''Mesyuarat Exco telah meluluskan perkara ini dan kita akan mewartakannya dalam tempoh terdekat," katanya.

Beliau berkata, kawasan yang dipilih ialah Taman Negeri Ulu MUda berdekatan Tasik Pedu membabitkan keluasan sebanyak 27,196 hektar, Taman Negeri Lembah Bujang, Merbok (11,636 hektar) dan Taman Negeri Langkawi melibatkan kawasan seluas 26,163 hektar.

Menurut beliau, taman-taman negeri itu adalah di bawah kelolaan kerajaan negeri dan akan dikendalikan oleh Jabatan Hutan menerusi kos tertentu yang belum diputuskan.


''Mesyuarat Exco telah meluluskan perkara ini dan kita akan mewartakannya dalam tempoh terdekat," katanya

Thursday, October 1, 2009

Isu Kartika: Umat Islam harus bangkit pertahankan hukuman sebat dan Lawan SIS!!

Tercabar dan terus tercabar.

Islam sengaja dicabar. Gerakan kufur dan munafik takkan berhenti mengganggu Islam. Kumpulan sesat seperti golongan liberal akan ada sahaja mahu mencabar kuasa Allah. Aku hairan, apakah mereka tidak takut azab Allah swt.

Nabi telah peringatkan kita,
"Tidaklah akan dibiarkan maksiat berleluasa terang-terangan ditengah-tengah suatu kaum, kecuali mereka akan ditimpa penyakit tha'un dan beraneka penyakit yang belum pernah ada pada generasi-generasi sebelum mereka yang telah lalu."
(Hadis sahih R.Ibnu Majah dan al-Hakim)

Sekarang, nah pelbagai musibah bala dan penyakit yang Allah kirim mencabar ego manusia. Walaupun pelbagai versi (samada bencana, penyakit dan sebagainya) namun ia tetap bala dari Allah. Tetapi manusia sombong dan samseng dengan Allah akan terus sombong dan tidak akan akui bala ini dari Allah kerana dosa manusia. Bala ini tidak mahu dinisbahkan kepada Allah yang menghantar peringatan dari kemaksiatan berleluasa manusia.

kita harus mengaku berdasarkan hadis tersebut, bahawa puncanya ialah manusia telah jauh dari rahmat Allah swt. Dengan sebab jauh inilah, Allah tidak kasihan lagi mahu menghina manusia dan mengazabkan manusia. Manusia juga terlalu menjauhkan diri dari Allah. Aturcara hidup dan syariat yang Allah turunkan, kita tinggalkan. Kita pilih cara thaghut mengisi kehidupan kita.

Antara aturcara dan syariat yang terang kita tinggalkan malah kita tentang ialah tidak menguruskan sistem hidup berdasarkan hidayah dari Allah. Paling jelas maksiatnya, Kita tidak melaksanakan undang-undang menurut kehendak Allah SWT. Ekoran daripada itu, Allah SWT mencabut rasa takut dari hati manusia terhadap ancaman AzabNya yang pedih dalam melakukan maksiat. Sekalipun terdapat undang-undang yang dikuatkuasakan, namun selagi tidak berlandaskan syariat Allah SWT, ia sama sekali tidak akan menyelesaikan masalah.

Firman Allah yang Mafhumnya :

”Dan hendaklah kamu jatuhkan hukuman di antara mereka berdasarkan apa yang telah diturunkan dan ditetapkan olehAllah, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka. dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu dari sebahagian apa yang Telah diturunkan Allah kepadamu. jika mereka berpaling (dari hukum yang Telah diturunkan Allah), Maka Ketahuilah bahawa Sesungguhnya Allah mahu menurunkan mushibah kepada mereka disebabkan antara dosa-dosa mereka. dan Sesungguhnya kebanyakan manusia adalah orang-orang yang fasik.” (Surah al-Maidah, ayat 49)

Allah swt telah menetapkan cara berundang-undang mengikut hidayat Allah. Pastinya dengan hukuman yang mengikut kebijaksanaan Allah ini ada hikmah penyelesaian kepada setiap gejala kerosakan masyarakat, hikmah manusia akan takut melakukan dosa jenayah dan pasti ada hikmah mengeluarkan manusia dari kemurkaan Allah. Ruh inilah yang kita tidak akan dapat dari undang-undang selain dari undang-undang Allah.

3 hukum yang disebut oleh syariat ialah HUDUD, QISAS dan TAAZIR. salah satu yang akan saya bicarakan di sini ialah HUDUD.

Hukum Hudud ertinya hukum-hukum yang telah ditetapkan oleh ALLAH dalam Al Quran dan Hadis kadar hukumannya (seksaannya) ke atas kesalahan-kesalahan jenayah tertentu, yang tidak dibolehkan manusia mengubah, menambah atau mengurangkannya. Seperti, hukum potong tangan kepada pencuri, hukum pancung kepala si murtad, hukuman sebat kepada pembuat fitnah (qazaf), hukuman rotan kepada peminum arak, hukuman rejam sampai mati kepada penzina yang sudah pernah berkahwin dan rotan 100 kali kepada penzina yang belum kahwin dan lainnya.

Semua hukuman harus dijatuhkan selepas sesi perbicaraan. Hukuman yang tidak melaui perbicaraan akan tetap ZALIM walaupun ianya betul, kerana falsafah penghakiman di dalam Islam, 'tersilap maaf adalah lebih baik dari tersilap Hukum'. Oleh sebab itu dalam islam, segala bentuk keraguan (syubuhat) yang timbul dalam perbicaraan, hudud atau qisas akan digugurkan demi mengelak berlakunya kezaliman.

Namun, hukum mesti dijalankan sekiranya kesalahan sabit dan terbukti dengan pengsaksian yang menolak keraguan atau pesalah membuat pengakuan terhadap dosa dan jenayahnya.

Hari ini, bising sangat manusia samseng berkokok mencabar Allah. Manusia dajjal yang tidak lagi takut dengan Allah. Manusia yang tertipu dengan intelek mereka. Manusia yang tidak langsung yakin dan mengimani suruhan dan janji Allah.

Isu Kartika, seorang model sambilan di Pahang yang dijatuhkan hukuman sebat sebanyak 6 kali oleh Mahkamah Syariah setelah mengaku bersalah meminum arak baru-baru ini mendedahkan bagaimana sikap sebenar sebahagian manusia terhadap pelaksanaan undang-undang Islam . Tahniah kepada model ini kerana sudah insaf, dan meyakini bahawa cara hukuman dengan cara Allah sahajalah mampu menebus dosanya di akhirat dan di dunia.

Orang yang memberi komen mengancam tidndakan sebat ini mengaku kononnya beriman tetapi sebenarnya angkuh dan samseng dengan Allah swt. Padahal hukuman sebat yang dijatuhkan itu tidaklah seratus peratus berlandaskan syariat, namun ia sekurang-kurangnya mempunyai sedikit sebanyak semangat undang-undang Islam.

Puak liberal dan kuffar akan meneruskan usaha menggagalkan hukuman yang ada ruh syariat ini. Mereka berhimpun, bersidang, bertindak ke mahkamah dan sebagainya bagi menggagalkan usaha ini. Namun, saya cuma melihat pertubuhan-pertubuhan Islam sekarang tidak lebih cuma dari memberi komen balas. Itu sahaja.

Saya rasakan, dengan kebodohan dan kedajjalan pihak samseng ini terus mencabar Allah, Pihak berkuasa, Kerajaan Malaysia (sebuah negara Islam seperti didakwa), Jabatan Mufti, Majlis Fatwa Kebangsaan, IKIM, JAKIM dan selainnya yang punya kuasa dan suara harus segera bertindak. Jangan dibiarkan puak ini terus menghina Islam. Jangan cuma berfungsi menjadi boneka dalam beberapa isu sahaja. Isu ini besar. Ini melibatkan maruah Islam. Mereka yang mempersoalkan undang-undang Islam atas alasan hak asasi manusia, jelas SESAT! Saya fikir, ramai umat Islam akanmenyokong kalaulah SIS dan sekutunya diharamkan dan dilabel sesat oleh pihak yang berwajib. Saya melihat, SIS dan Rasul kahar sama sahaja sesatnya.


Dari sudut lain pula, pertubuhan-perubuhan Islam harus bangkit mengambil tindakan terhadap Ajaran sesat tersebut yang dipimpin oleh SIS. Umat Islam harus bangkit, menyatakan ketakutan kita kepada Allah dan membantah kebiadaban SIS.

Kalaulah hindraf boleh ke jalan demi agama mereka, kalaulah rakyat boleh berhimpun menyatakan suara padu rakyat terhadap kezaliman ISA, kalaulah rakyat berhimpun lagi kerana ketidakadilah SPR... saya rasa Ummat Islam yang sayangkan Allah bersedia juga ke jalan bagi melawan kedajjalan SIS dan rakan sekutunya. Umat islam di Malaysia juga sedia bertempur demi kemaksiatan yang berleluasa ini dapat dinoktahkan! Kita juga sedia bersahut, untuk turun berhimpun malah jutaan umat Islam akan berhimpun menyatakan sokongan terhadap hukuman sebat ke atas pesalah minum arak!

Saya harap, ada tindakan paling dekat akan diambil oleh Pas, Ngo-ngo islam, pertubuhan-pertubuhan melayu islam dan semua gerakan yang atas nama Islam demi tidak membiarkan pembantaian berterusan pihak sesat ini terhadap ketetapan Allah.

Kalaulah tidak ada lagi manusia yang mahu pertahankan undang-undang islam ini, Kita amat bimbang Allah tidak lagi melihat kita di Malaysia dengan pandangan Rahmat. Azab Allah ke atas sesuatu kaum pasti dihantarnya. Di dalam kaum itu, semuanya bakal merasai azab Allah, samada dia orang Soleh atau sebaliknya.

Saturday, September 19, 2009

Khutbah Eidul Fitri 1430

Selamat menyambut Eidul Fitri.

Saya tinggalkan saudara / saudari penjenguk blog ini dengan khutbah saya di Surau Al-Ikhwan, Bandar Amanjaya Kedah.

KHUTBAH AIDILFITRI 1430H

Khutbah Pertama

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورجمة الله وبركاته

اللهُ أَكْبَر اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَر
اللهُ أَكْبَر اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَر
اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَر اللهُ أَكْبَر

الله أكبر خَلَقَ الخُلْقَ وَأَحْصَاهُمْ عَدَداً ، الله أكبر وَكُلُّهُمْ آتِيهِ يَوْمَ القِيَامَةِ فَرْداً ، الله أكبر خَلَقَ كُلَّ شَيْءٍ بِقَدَرْ، الله أكبر مَلَكَ كُلَّ شَيْءٍ وَقَهَّر،َ اللهُ أَكْبَرُ كُلَّمَا صَامَ صَآئِمٌ وَأَفْطَرَ، اللهُ أَكْبَرُ كُلَّمَا لاَحَ صَبَاحُ عَيْدٍ وَأَسْفَرَ، اللهُ أَكْبَرُ مَا هَلَّلَ مُسْلِمٌ وَكَبَّرَ.وَتَابَ تَآئِبٌ وَاسْتَغْفَرَ.

اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَر اللهُ أَكْبَرُ لا إله إلا الله و اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ وَللهِ الحَمْدُ،

الحمد لله الذي جعَل هذا اليوم عيدًا لعباده المؤمنين. وختَمَ به شهر الصيام للمخلصين. وجعَل في طاعته عزَّ الدنيا والآخرةِ للطائعين. وفي معصيته ذلُّ الدارَين للعاصين. أشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريكَ له، وأشهد أن محمدا عبده ورسولُه. اللهم صلِّ على سيدنا محمدٍ وعلى آله وأصحابه أجمعين.
أما بعد، فيا عباد الله، اتقوا الله، إنّ الله مع المتقين.

Sidang jemaah yang dirahmati Allah SWT.



Saya berpesan kepada diri saya dan sidang jemaah sekalian agar marilah bersama kita teguhkan ketaqwaan kepada Allah SWT kerana orang-orang yang mendapat kemenangan di hari akhirat kelak hanyalah orang-orang yang bertaqwa kepada Allah SWT. Marilah sama-sama kita muhasabah diri, apakah kita peroleh taqwa yang Allah tawarkan kepada ummat yang mengisi Ramadhan ini dengan melaksanakan segala titah perintah Allah, meninggalkan segala larangannya dan menjungjung tinggi syiar membesarkan Allah dalam segala aspek kehidupan manusia. Bukankah madrasah Ramadhan ini tujuannya mahu mendidk hamba supaya meningkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT?

Firman Allah swt. berfirman

يا أيها الذين آمنوا كتب عليكم الصيام كما كتب على الذين من قبلكم لعلكم تتقون

” wahai orang-orang yang beriman, difardhukan kepada kamu puasa sepertimana difadhukan kepada umat sebelum kamu semoga kamu nanti bertaqwa”
Al-baqarah 183

Hadirin mukminin rohimakumuLLah.

Kita baru sahaja meninggalkan bulan Ramadhan yang merupakan bulan yang penuh dengan rahmat, maghfirah dan jaminan pembebasan dari azab neraka Allah swt. Amat beruntunglah mereka yang meninggalkan ramadhan bersama dengan satu kemenangan kembali kepada fitrah kehambaan di sisi Allah swt. Alangkah sia-sianya mereka yang tidak mengambil kesempatan sepanjang berada di bulan Ramadhan untuk meningkatkan amal ibadat sebagai bekalan untuk mengadap Allah SWT. Alangkah ruginya mereka yang tidak mengambil kesempatan mendidik jiwa dan nafsu supaya kembali tunduk kepada Pencipta dengan erti kata sebenarnya. Dan alangkah celakanya mereka yang meninggalkan ramadhan tanpa dosa diampuni, malah semakin bertambah pula dosa dengan Allah swt. Di dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Al-Hakim, Rasulullah SAW bersabda :

« احُضُرُوا المِنْبَرَ » فَحَضَرْنَا فَلَمَّا ارْتَقَى دَرَجَةً قَالَ : « آمين » ، فَلَمَّا ارْتقَىَ الدَّرَجَةَ الثَّانِيَةَ قال : « آمين » فَلَمَّا ارْتَقَى الدَّرَجَةَ الثَّالِثَةَ قال : « آمين » ، فَلَمَّا نَزَلَ قُلْنَا : يَا رَسُولَ اللهِ لَقَدْ سَمِعْنَا مِنكَ الْيَوْمُ شَيْئًا مَا كُنَّا نَسْمَعُهُ قَالَ : « إِنَّ جِبْرِيلَ عليه الصلاة والسلام عَرَضَ لِي فَقَالَ : بَعُدَا لِمَنْ أَدْرَكَ رَمَضَانَ فَلَمْ يُغْفَرْ لَهُ قُلْتُ : آمين ، فَلَمَّا رَقَيْتُ الثَّانِيَةَ قَالَ : بَعُدَا لِمَنْ ذُكِرْتَ عِندَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيْكَ قلت : آمين ، فَلَمَّا رَقَيْتُ الثَّّالِثَةَ قَالَ : بَعُدَا لِمَنْ أَدْرَكَ أَبَوَاهُ الكِبَرَ عِنْدَهُ أَوْ أَحَدُهُمَا فَلَمْ يُدْخِلاَهُ الجَنَّةَ قُلْتُ : آمين »

Yang bermaksud : Rasulullah SAW bersabda : Hadirlah ke mimbar semuanya. Apabila kami (sahabat) hadir, Nabi :saw telah lalu naik ke mimbar, apabila melangkah tangga pertama, baginda berkata : Amin, apabila melangkah tangga kedua, baginda berkata, Amin, apabila melangkah tangga ketiga, baginda berkata Amin. Apabila baginda turun, kami bertanya : Wahai Rasulullah, kami telah mendengar daripada kamu pada hari ini sesuatu yang tidak pernah kami mendengarnya. Baginda menjawab : Telah berkata Jibril kepadaku :
Jauhlah (dari rahmat Allah) kepada sesiapa yang bertemu Ramadhan tetapi dia tidak diampunkan dosanya oleh Allah SWT, aku berkata, Amin.
Bila aku menaiki tangga kedua, Jibril berkata : Jauhlah (dari rahmat Allah) kepada sesiapa yang disebut nama kamu di sisi mereka, maka mereka tidak berselawat kepadamu, aku berkata, Amin.
Bila aku menaiki tangga ketiga, Jibril berkata, Jauhlah (dari rahmat Allah) kepada sesiapa yang kedua ibubapanya atau salah seorang darinya mencapai usia tua di sisinya tetapi tidak memasukkannya ke dalam syurga (dengan amal baktinya sebagai seorang anak), aku berkata, Amin.
(Hadis riwayat Hakim dan disahihkan oleh Albani)


Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah sekalian,
Alhamdulillah, hari ini umat Islam di seluruh dunia menyambut hari raya yang merupakan hari kemenangan bagi kaum muslimin. Kesempatan ini saya sekali lagi berpesan sepertimana khutbah saya di tahun lepas, janganlah kita rosakkan ibadah raya kita dengan aktiviti-aktiviti maksiat. Terlalu bidaah dholalahlah syawal kita jika kita isi sambutan eidul fitri ini dengan hiburan yang melampaui syariat Allah seperti yang dianjur oleh banyak pihak terutamanya pihak televisyen saban tahun. Semoga, kita terhindar dan tidak bersama dengan pihak yang kufur dengan nikmat rahmat eidul fitri ini.

Marilah kita isikan eidulfitri ini dengan perbanyakkan doa agar segala amalan yang kita isi dalam ramadhan yang baru berlalu diterima oleh Allah swt. Allah mengajar agar eidul fitri ini diisi dengan program membesarkan Allah swt. Perbanyakkan ucapan takbir membesarkan Allah swt, ucapan tahlil yang meneguhkan tauhid mengesakan Allah serta memuji dan memuja Allah swt.

Firman Allah swt dalam menyebut perihal Ramadhan dan raya ini.

ولتكملوا العدة ولتكبروا الله على ما هداكم ولعلكم تشكرون

“Dan semoga Kamu menyempurnakan hari-hari ramadhan, juga supaya kamu membesarkan Allah diatas apa yang telah Allah hidayahkan kepada kamu dan semoga kamu bersyukur.”
(al-baqarah: 185)

الله أكبر الله أكبر الله أكبر

Sidang jemaah yang dirahmati Allah SWT.

Namun, dalam kegembiraan Hari raya pada tahun ini, saya nak mengajak hadirin sekelian melihat bagaimana ia disambut dalam keadaan dunia berhadapan dengan fitnah yang cukup besar. Fitnah kehancuran dunia akhir zaman. Wabak dan bala dari Allah yang tidak putus-putus. Pelbagai bentuk bencana, wabak dan bermacam lagi bala dari Allah saling silih berganti. Malah hari ini, selesema babi masih menjadi ancaman. Semalam kita mendapat berita ada lagi kematian baru dilaporkan bersabit wabak ini. Wabak ini langsung tidak menunjukkan sebarang keredaan malah diramalkan akan kembali dengan pusingan kedua selepas raya ini dengan keadaan yang lebih dahsyat. Sehingga hari ini, Allah tunjukkan, bahawa manusia walau sekuat mana pun dia, sebijak mana pun dia setinggi mana pun dia, namun manusia tetap adalah hamba yang sama sekali tidak ada keupayaan melawan kuasa Allah swt.

Sedarkah kita bahawa tersebarnya fitnah kehancuran ini walau apa versi sekali pun samada wabak atau bencana atau lainnya sebenarnya telah awal lagi diberi peringatan oleh Rasulullah SAW dalam sabda baginda :

لَمْ تَظْهَرْ الْفَاحِشَةُ فِي قَوْمٍ قَطُّ حَتَّى يُعْلِنُوا بِهَا إِلَّا فَشَا فِيهِمْ الطَّاعُونُ وَالْأَوْجَاعُ الَّتِي لَمْ تَكُنْ مَضَتْ فِي أَسْلَافِهِمْ الَّذِينَ مَضَوْا

"Tidaklah akan dibiarkan maksiat berleluasa terang-terangan ditengah-tengah suatu kaum, kecuali mereka akan ditimpa penyakit tha'un dan beraneka penyakit yang belum pernah ada pada generasi-generasi sebelum mereka yang telah lalu."
(Hadis sahih R.Ibnu Majah dan al-Hakim)

Wabak selesema babi yang menular di seluruh dunia pada hari ini tidak pernah didengari oleh generasi sebelum kita. Justeru itu, hendaklah masing-masing di kalangan kita kembali menghayati ajaran Islam yang sebenar agar tidak terjebak dengan kemaksiatan yang berleluasa yang mengundang bala daripada Allah SWT.

الله أكبر الله أكبر الله أكبر

Muslimin dan muslimat sidang jemaah yang dihormati sekalian.

Kenapakah berleluasanya maksiat di tengah-tengah masyarakat pada hari ini? Apakah puncanya yang menyebabkan manusia semakin hari semakin lupa kepada tuntutan sebagai hamba Allah SWT?

Mahu tidak mahu, kita harus mengaku berdasarkan hadis yang saya bacakan tadi bahawa puncanya ialah manusia telah jauh dari rahmat Allah swt. Dengan sebab jauh inilah manusia sekarang meninggalkan syariat dan aturcara hidup yang Allah tentukan kepada manusia. Antara lain ialah kerana kecuaian kita di dalam mengurus sistem berdasarkan hidayah dari Allah. Kita tidak melaksanakan undang-undang menurut kehendak Allah SWT. Ekoran daripada itu, Allah SWT mencabut rasa takut dari hati manusia terhadap ancaman AzabNya yang pedih dalam melakukan maksiat. Sekalipun terdapat undang-undang yang dikuatkuasakan, namun selagi tidak berlandaskan syariat Allah SWT, ia sama sekali tidak akan menyelesaikan masalah.

Apa yang menyedihkan, walaupun terdapat individu-individu yang merelakan diri untuk dihukum seperti yang disyariatkan oleh Allah, namun ada pula umat Islam yang memberi pelbagai komen yang sombong dengan Allah. Isu seorang model sambilan di Pahang yang dijatuhkan hukuman sebat sebanyak 6 kali oleh Mahkamah Syariah setelah mengaku bersalah meminum arak baru-baru ini mendedahkan bagaimana sikap sebenar sebahagian manusia terhadap pelaksanaan undang-undang Islam . Mereka mengaku kononnya beriman tetapi sebenarnya angkuh dan samseng dengan Allah swt. Padahal hukuman sebat yang dijatuhkan itu tidaklah seratus peratus berlandaskan syariat, namun ia sekurang-kurangnya mempunyai sedikit sebanyak semangat undang-undang Islam.

Ekoran isu ini, kita menyaksikan bagaimana bisingnya kumpulan-kumpulan yang kononnya memperjuangkan hak asasi manusia malah terdapat sebahagian pemimpin yang beragama Islam mengeluarkan kenyataan di atas nama keadilan kononnya. Bagi mereka, hukuman sebat ke atas peminum arak itu satu kezaliman dan tidak berlandaskan hak asasi manusia apatah lagi jika dijatuhkan terhadap pesalah wanita. Sepatutnya mereka harus Sedar bahawa hukuman sebat mengikut undang-undang sivil lebih menyakitkan dan lebih tepat untuk dikatakan sebagai zalim dan ganas. Inilah dia wajah sekular yang sama sama sekali tidak berniat untuk melaksanakan Islam. Ingatlah firman Allah SWT :
وَأَنِ احْكُمْ بَيْنَهُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ وَاحْذَرْهُمْ أَنْ يَفْتِنُوكَ عَنْ بَعْضِ مَا أَنْزَلَ اللَّهُ إِلَيْكَ فَإِنْ تَوَلَّوْا فَاعْلَمْ أَنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ أَنْ يُصِيبَهُمْ بِبَعْضِ ذُنُوبِهِمْ وَإِنَّ كَثِيرًا مِنَ النَّاسِ لَفَاسِقُونَ

Mafhumnya : ”Dan hendaklah kamu jatuhkan hukuman di antara mereka berdasarkan apa yang telah diturunkan dan ditetapkan olehAllah, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka. dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu dari sebahagian apa yang Telah diturunkan Allah kepadamu. jika mereka berpaling (dari hukum yang Telah diturunkan Allah), Maka Ketahuilah bahawa Sesungguhnya Allah mahu menurunkan mushibah kepada mereka disebabkan antara dosa-dosa mereka. dan Sesungguhnya kebanyakan manusia adalah orang-orang yang fasik.” (Surah al-Maidah, ayat 49)

الله أكبر الله أكبر الله أكبر
Muslimin dan muslimat sidang jemaah yang dihormati sekalian.

Di tengah-tengah kemelut ini, di mana wabak dan bala dari Allah tidak putus-putus dikirimkan kepada ummat manusia, kita harus faham ia sebenarnya membawa mesej agar manusia mengambil peringatan dan kembali kepada Tuhan Pencipta dengan erti ubudiyah dan penghambaan sebenarnya. umat Islam wajar meletakkan keutamaan untuk kembali semula kepada syariat Allah SWT. Janganlah lagi terpengaruh dengan slogan-slogan karut yang bertujuan mengelirukan masyarakat. Sesungguhnya sekular itu tetap satu sekalipun ia datang dengan pakej yang berlainan. Bagi seorang muslim yang sebenar, beriman dengan Al-Quran merupakan satu syariat, Islam perlu didahulukan dan hak Allah SWT mesti diutamakan. Tidak guna 1 Malaysia kalaulah satu Quran tidak diimani secara menyeluruh!

Hadirin mukminin Rohimakumullah.

Allah tidak membiarkan umat ini hancur begitu sahaja. Allah tetap memberikan jalan keluar untuk semua jenis masalah. Cuma manusia sahaja, adakah dia akan tunduk dengan kebijaksaan Allah atau dia akan sombong tidak pedulikan tawaran dari Allah swt. Rasulullah saw telah menawarkan jalan keluarnya dalam sebuah hadis.

قال علي، سمعت رسول الله ( ص) يقول : إنها ستكون فتنة. قلت ما المخزج منها يا رسول الله؟ قال : كتاب الله. فيه نبأ ما قبلكم وخبر ما بعدكم وحكم ما بينكم، هو الفصل ليس بالهزل، مَن تركه مِن جبار قصمه الله، ومن ابتغى الهدى من غيره أضلَّه الله


Saidina Ali karramallahu wajhah meriwayatkan bahawa rasulullah bersabda ”Nanti satu masa akan berlaku fitnah” lalu saidina ali bertanya : Apakah jalan keluar yang kami ada wahai rasulullah?
Rasulullah menjawab ” Kitab allah iaitu Al-quran. Di dalamnya ada cerita tentang kaum terdahulu sebelum kamu. Ada juga berita tentang apa akan berlaku selepas kamu. Ada hukum antara kamu. Inilah kitab yang putus qatie bukan kitab main-main. Sesiapa meninggalkannya kerana samseng dan sombong Allah akan hancurkannya dan sesiapa yang mengharapkan petunjuk selain dari kitab Allah ini, maka Allah akan sesatkannya. – Hadis riwayat At-Tirmizi


Kita sedar bahawa jalan meredakan fitnah yang sedang dihadapi oleh umat manusia hari ini cumalah Al-Quran. Alquran merupakan satu-satunya jalan penyelesaian yang mampu meredakan kemurkaan Allah. Umat Islam harus kembali secara menyeluruh kepada isi kandungan Al-quran. Jangan mengimani sebahagian dan menolak pula sebahagian yang lain. Ingatlah Peringatan dari Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 85

أفتؤمنون ببعض الكتاب وتكفرون ببعض، فما جزاء من يفعل ذلك منكم إلا خزيٌ في الحياة الدنيا، ويومَ القيامة يردون إلى أشد العذاب، وما اللهُ بغافل عما تعملون

”Adakah patut kamu Cuma beriman dengan sebahagian dari kitab sedangkan kamu mengingkari dan menolak sebahagian yang lain? Maka tidak adalah balasan terhadap orang yang berbuat demekian melainkan diberi penghinaan ketika hidupnya di dunia dan di hari kiamat nanti pula mereka akan dihumban kedalam azab seksa yang paling hebat. Dan ingatlah Allah sama sekali tidak akan lalai terhadap apa yang kamu lakukan.”

Oleh itu, Al-quran jangan hanya dibaca dan ditadarus Cuma pada malam-malam Ramadhan tetapi harus berlanjutan dan dilaksanakan segala isinya. Ramadhan menjadi medan bermula kita mendekatkan diri dengan Al-Quran maka seharusnya syawal pula mejadi medan kita kembali sepenuhnya dengan ajaran yang terkandung di dalam al-quran.

الله أكبر الله أكبر الله أكبر

Hadirin mukminin sekelian,

Bersempena eidul fitri ini juga marilah kita mengenali hakikat penciptaan manusia. Sedarlah manusia tidak diutus ke dunia ini sia-sia tanpa tanggungjawab.

Firman Allah dlm surah almukminun: 115.

أفحسبتم أنما خلقناكم عبثا وأنكم إلينا لا ترجعون

”Adakah kamu wahai manusia menyangka Kami( Allah) menciptakan kamu sia-sia saja dan adakah kamu sangka kamu tidak akan kembali lagi kepada Kami.”

Sedarlah Manusia ada amanah yang mesti diisi dan ditunaikan. Manusia yang dilantik menjadi khalifah di dunia ini mestilah menguruskan dunia dengan kehendak dan perkenan dari Allah. Ingatlah Manusia juga mesti mengisi kehidupan sementara di dunia ini dengan pengabdian total kepada Allah swt. Manusia tidak punya hak memberi komen sebarang ketetapan Allah swt. Tugas kita Cuma patuh!

وما خلقت الجن والإنسانَ إلا ليعبدون

”Tidak lah aku ciptakan manusia dan jin itu melainkan mereka bertanggungjawab menghambakan diri kepadaku.” Az-zariyat : 56

Sedarlah raya kita di dunia ini Cuma raya yang bermusim. Namun raya kita di akhirat nanti adalah raya yang berkekalan abadi. Oleh itu, jadikanlah syawal ini titik bermulanya kita mencari bonus lebih supaya dapat dijadikan bekal di akhirat nanti. Tingkatkanlah ketaqwaan. Kukuhkan keimanan. Dekatkan diri kita dengan Tuhan. Di akhirat nanti tidak ada sesuatu pun yang lebih berharga berbanding hati sejahtera dengan iman.
يَوْمَ لَا يَنْفَعُ مَالٌ وَلَا بَنُونَ (88) إِلَّا مَنْ أَتَى اللَّهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ (89)

"Hari qiamat yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan sebarang manfaat dan pertolongan, Kecuali harta benda dan anak-pinak orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik); (Surah As-Syu’araa’, ayat 88-89)

أقول قولي هذا وأستغفر الله لي ولكم ولسائر المسلمين والمسلمات فاستغفروه إنه هو الغفور الرحيم



Khutbah kedua

اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ،
اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ،
اللهُ أَكْبَرُ،
اللهُ أَكْبَرُ كَبِيْرًا وَالحَمْدُللهِ كَثِيْرًا وَسُبْحَانَ اللهِ بُكْرَةً وَأَصِيْلاً، لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ وَللهِ الحَمْدُ.
الحَمْدُ للهِ الَّذِى جَعَلَ لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ لِعبَاْدِهِ، اِذا أَفْطَرَ وَاِذَا لَقِىَ رَبَّهُ. أَشْهَدُ أَن لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، لاَ مَعْبُوْدَ سِوَاهُ، وَنَحْنُ لَهُ مُسْلِمُوْنَ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، الْمَبْعُوْثُ رَحْمَةً لِلْعَالَمِيْنَ. اللَّهُمَّ صِلَّ وَسَلِّمْ عَلَى هَذَا النَّبِىِّ الْكَرِيْمِ وَعَلَى أَلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللهَ فَقَدْ فَازَ اْلمُتَّقُونَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى
Saudara, Saudari, Muslimin, Muslimat tetamu tetamu Allah,

Hari ini kita menyambut hari raya Fitrah hasil daripada kejayaan kita menempuh ramadhan yang lalu. Kita di hari ini disuruh bergembira. Berpakaian baru dan hidupkanlah suasana gembira. Orang yang beriman bertaqwa akan bergembira pada hari ini kerana mereka telah sedih di saat akhir Ramadhan. Air mata mereka telah banyak tumpah ke bumi sepanjang Ramadhan kerana takutkan Allah swt. Mereka tidak punya masa untuk berfoya kerana bonus yang dijanji tuhan Cuma sebulan sahaja. Jadi hari ini, mereka akan berembira kerana mereka berjaya dididik oleh madrasah Ramadhan. Namun, kegembiraan mereka kita akan lihat sentiasa berada di dalam batas-batas syariat. Orang yang beriman tidak akan sama sekali lupa untuk meneruskan semangat ibadah ramadhan. Jadi, janganlah pula kita lupa untuk berpuasa enam, kerana ia merupakan ekstra bonus buat ummat islam.

Nabi saw bersabda
" مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ" رواه مسلم.
Ertinya: "Sesiapa berpuasa bulan Ramadhan kemudian mengikutinya (dengan) berpuasa enam hari daripada bulan Syawal nescaya yang demikian itu seperti dia berpuasa setahun tanpa putus"

Hadirin mukminin sekelian,
Kadang-kadang malah selalunya orang yang terlalu gembira ialah mereka yang tidak berjaya pun dalam ujian Ramadhan. Mereka gagal, tetapi mereka ini pula yang lebih-lebih berpesta menyambut syawal. Sebab itu kita dapat lihat masyarakat kita tidak menyambut Eidul Fitri ini dengan slogan iman tetapi lebih bergembira kerana Syaitan yang dirantai sebulan akan kembali berteman. Sebab itu kegembiraan dan hiburan yang dituntut berdasarkan syariat bertukar menjadi pesta hiburan yang jauh dari Allah swt.

Marilah juga kita bersempena eidul fitri ini kita eratkan silaturrahim dengan perbanyakkan aktiviti ziarah kerana itu adalah yang dituntut dalam ibadah raya ini. Bergembiralah selagi mana tidak melanggar perintah Allah swt. Berhiburlah selagi tidak maksiat kepada Allah, kerana eidul fitri ini, kita disunatkan mengisinya dengan kegembiraan.

Dalam kegembiraan ini, kita harus mengenangkan nasib ummat islam yang lain diserata dunia. Begitu juga, Golongan yang susah, jangan dibiarkan, kerana itu tanggungjawab kita semua. Dengan maksud itulah kita diwajibkan membayar zakat fitrah. Zakat ini diwajibkan kepada setiap orang islam dan merdeka yang mempunyai harta yang lebih dari keperluannya dan tanggungannya untuk malam dan hari raya itu. Jadi, zakat ini tidak hanya orang yang kaya raya sahaja diwajibkan, malah orang sederhana yang tidak tergolong dalam golongan fuqara’ juga diwajibkan. Semuanya untuk membersihkan diri kita sejajar dengan sambutan kita kembali kepada fitrah selain membantu golongan yang kurang berupaya.
عن ابن عباس رضي الله عنهما قال: فَرَضَ رسولُ الله (ص) زكاةَ الفطرِ طُهْرَةً للصائم من اللغو والرفث. وطُعمةً للمساكين. مَن أدّاها قبل الصلاة فهي زكاةٌ مقبولةٌ. ومَن أدّاها بعد الصلاة فهي صدقةٌ من الصدقات

“Daripada ibnu abbas r.anhuma berkata : Rasulullah telah mewajibkan zakat fitrah untuk membersihkan diri orang yang berpuasa dari segala perkara sia-sia dan buruk. Juga menjadi makanan kepada orang miskin. Sesiapa yang menunaikannya sebelum solat sunat raya maka dialah zakat fitrah yang diterima. Dan sesiapa yang mengeluarkannya selepas solat sunat raya maka jadilah dia sedekah biasa seperti sedekah sunat yang lain.”
- Hadis riwayat Abu daud

الله أكبر الله أكبر الله أكبر

Akhirnya, khotib ingin mewasiatkan hadirin sekelian dengan firman Allah swt. Semoga menjadi panduan kita sepanjang menempuh hari-hari yang mendatang.
Bismillahir Rahmanir Rahiim.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا هَلْ أَدُلُّكُمْ عَلَى تِجَارَةٍ تُنْجِيكُمْ مِنْ عَذَابٍ أَلِيمٍ (10) تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَتُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنْفُسِكُمْ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ (11) يغفر لكم ذنوبكم ويدخلكم جنات تجري من تحتها الأنهارُ ومساكنَ طيبة في جناتِ عدن ذلك الفوز العظيم.(12)
Ertinya: Wahai orang-orang yang beriman mahukah kamu aku tunjukkan suatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab siksa yang tidak terperi sakitnya. Perniagaan itu ialah kamumesti beriman kepada Allah dan Rasulnya serta kamu berjuang dalam membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu, yang demikian itulah lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). Dengan itu Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu dan Allah akan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai serta diberikan kepada kamu tempat tinggal yang baik di dalam syurga yang kekal. Itulah kemenangan yang besar. (Surah al-Shaff, ayat 10-11)
Tidak lupa di hari mulia ini, marilah kita perbanyakkan selawat ke atas junjungan Mulia Nabi Muhammad saw, penghulu segala nabi, utusan penutup segala syariat, semoga beroleh syafaatnya di hari akhirat nanti
﴿ إِنَّ اللهَ وَمَلاَئِكَـتـَهُ يُصَلُّوْنَ عَلَى النَّبِىِّ يَا أَيُّهَا الَّذِيْنَ آمَنُوْا صَلُّوْا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوْا تَسْلِيْمًا ﴾
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ، وَارْحَمْنَا وَإِيَّاهُمْ بَرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِيْنَ.
إني داعٍ فأمِّنوا،
اللهم أصلح لنا ديننا الذي هو عصمة أمرنا، وأصلح لنا دنيانا التي فيها معاشنا، وأصلح لنا آخرتناالتي إليها معادنا، واجعل الحياة زيانة لنا في كل خير، واجعل الموت راحة لنا من كل شر.
اللَّهُمَّ أَكْرِمْنَا وَلا تَهِنَّا وَأَعْطِنَا وَلاَ تَحْرِمْنَا وَزِدْنَا وَلاَ تَنْقُصْنَا وَآثِرْنَا وَلاَ تُؤْثِرْ عَلَيْنَا وَأَرْضِنَا وَارْضِ عَنَّا. اللَّهُمَّ اجْعَلْ كَلِمَةَ اْلإِسْلاَمِ هِىَ الْعُلْيَا وَاجْعَلْ كَلِمَةَ أَعْدَاءِ اْلإِسْلاَمِ هِىَ السُّفْلَىْ. اللَّهُمَّ عَلَيْكَ بِأَعْدَائِكَ أَعْدَاءَ اْلإِسْلاَمِ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَدْرَأُ بِكَ فِى نُحُوْرِهِمْ وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شُرُوْرِهِمْ، اللَّهُمَّ رُدَّ عَنَّا كَيْدَهُمْ وَفُلَّ حَدَّهُمْ وَادْلُ دَوْلَتَهُمْ وَاذْهِبْ عَنْ أَرْضِكَ سُلْطَانَهُمْ وَلاَ تَدَعْ لَهُمْ سَبِيْلاً عَلَى أَحَدٍ مِنْ عِبَادِكَ الْمُؤْمِنِيْنَ.

واغفرِاللهم لنا ولوالدِينا ولإخوتنا ولمن له حق علينا ولجميع المسلمين والمسلمات والمؤمنين والمؤمنات الأحياء منهم والأموات, اللهم أعِزَّ الاسلامَ والمسلمين, وأذِلَّ الشرك والمشركين ودمِّرْ أعداء الدين وانصرْ عبادَك المؤمنين. اللهم ألِّف بين قلوب المؤمنين, واجعل هذ البلد آمِنا مطمئنا رخاءا وسائر بلاد المسلمين.
اللَّهُمَّ َأَيِّدْ إِخْوَانِنَا الْمُجَاهِدِيْنَ فِى كلِّ بِلاَدِ اْلإِسْلاَمِ وغيرِها حَيْثُمَا كَانُوْا. اللَّهُمَّ أَيِّدْهُمْ بِمَلإٍ مِنْ جُنْدِكَ، اللَّهُمَّ أَمِدْهُمْ بِرُوْحٍ مِنْ عِنْدِكَ، اللَّهُمَّ احْرُسْهُمْ بِعَيْنِكَ الَّتِى لاَ تَنَامُ وَاكْلأْهُمْ فِى كَنَفِكَ الَّذِى لاَ يَضَامُ.
رَبَّنَا اغْفِرْلَنَا ذُنُوْبَنَا وَاِسْرَافَنَا فِى أَمْرِنَا وَثَبِّتْ أَقْدَامَنَا وَانْصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِيْنَ. رَبَّنَا اغْفِرْلَنَا وَلإِخْوَانِنَا الَّذِيْنَ سَبَقُوْنَا بِالإِيْمَانِ وَلاَ تَجْعَلْ فِى قُلُوْبِنَا غِلاًّ لِلَّذِيْنَ آمَنُوْا رَبَّنَا إِنَّكَ رَؤُوْفٌ رَّحِيْمٌ . رَبَّنَا آتِنَا فِى الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ. وَصَلَّ اللهُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ وَالْحَمْدُ للهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ.
عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَاْلإِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِى الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْىِ يَعِظُكُمْ لَعَلَكُّمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرَ. والله يعلم ما تصنعون.
اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ وَللهِ الْحَمْدُ.
وَتَقَبَّلَ اللهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ،من العائدين والفائزين كلَ عَامٍ وَأَنْتُمْ بِخَيْرٍ. وَالسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ تَعَالَى وَبَرَكَاتُهُ.